aku kau dan dia

Jun 25, 2009

Kebodohan and Kejahilan Terserlah

Filed under: rentetan — Jefferi @ 12:36 pm

Adakala aku memikirkan tentang kejahilan dan kebodohan yang berlaku di negara ini melalui pembacaan di media massa dan tatapan kaca televisyen. Tidak aku pasti sama ada semua ini hanya lakonan semata untuk tatapan kepada rakyat malaysia yang sudah memang keliru dan celaru dengan permainan pihak yang berkepentingan. Selain daripada membuat tatapan dan penakulan yang teliti melalui pelbagai sumber dan pengamatan kejadian, mereka menelan dan menerima bulat-bulat apa yang disuapkan dan disumbat kedalam mulut minda mereka.

Kejahilan dan kebodohan semakin menjadi-jadi apabila mereka mempertahankan apa yang berlaku dengan alasan dimana budak hingusan pun tidak dapat terima. Adakan kita dalam peringkat kejahilan minda yang telah berlangsung selama berdekad? Adaka ini berpunca daripada kelemahan dan kekurangan rakyat negara ini akibat daripada diarah ke jalan yang salah?

Permainan wayang yang sering dilihat dalam media utama amat membimbangkan. Kita sering dijadikan tebusan oleh pihak tertentu yang menjadikan keamanan sebagai justifikasi untuk kekal berkuasa dan ini tidak seharusnya berlaku dan penduduk tidak seharusnya termakan akan helah sedemikian. Namun demikian, ini bukalah satu perkara buruk kerana terdapat ciptaan baru zaman moden yang mampu melawan segala penipuan dan permainan sekiranya penduduk sejagat bersatu padu untuk merungkai segala muslihat yang membantutkan perkembangan minda dan pikiran yang memacu tamadun manusia ke peringkat yang lebih maju.

Mac 30, 2009

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia

Filed under: bahasa — Jefferi @ 3:59 am

Sering aku membaca dan mendengar pendebatan antara ilmuan bahasa mengenai panggilan yang paling sesuai untuk bahasa kebangsaan negara ini. Ada ilmuan yang menyatakan bahawa bahasa melayu merupakan satu panggilan sesuai kepada bahasa kebangsaan kerana ia sudah lama dikenali sedemikian. Ada pihak yang tidak setuju dengan panggilan tersebut kerana panggilan bahasa melayu tidak dapat membawa semangat patriotik dan nasionalisme seperti yang dapat diamati oleh negara jiran Indonesia.

Pertukaran yang terakhir kepada panggilan bahasa kebangsaan negara ini adalah Bahasa Malaysia kerana dipercayai amat sesuai dan menonjolkan ciri-ciri kebangsaan yang penting untuk pembangunan negara. Ini menunjukkan bahawa terdapat penglibatan daripada golongan tertentu yang ingin mewujudkan satu identiti Malaysia dalam bahasa rasmi negara ini sedangkan banyak ilmuan bahasa berpendapat bahawa Melayu lebih memberikan pemahaman yang tepat.

Penulis juga berpendapat bahawa bahasa kebangsaan di negara ini sepatutnya dikenali sebagai bahasa melayu atas faktor sejarah dan bukan faktor ideologi kenegaraan yang dipengaruhi oleh golongan pemerintah di negara ini. Namun, perbezaan ini tidaklah memberi impak atau kesan yang signifikasi dalam pendidikan negara kerana kebanyakan rakyat negara ini tidak sedar akan apa perbezaan di antara panggilan bahasa malaysia dan bahasa melayu.

Walaupun bahasa kebangsaan negara ini dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara dan penggunaannya dikalangan rakyat negara ini adalah tinggi, ia tidak dianggap sebagai satu bahasa pembangunan negara. Bahasa kebangsaan negara tidak diyakini dapat mengangkat semua pengetahuan dan ilmu duniawi dan saintifik yang menjadi tonggak dan tunjang kepada pembangunan kebudayaan di negara ini.

Bahasa Inggeris sebaliknya diangkat dan diamalkan dalam sistem pendidikan negara sedangkan kebanyakan pelajar terlibat dalam sistem pendidikan negara tidak mempunyai asas dan pemahaman yang kuat dalam bahasa inggeris. Penggunaan bahasa inggeris hanya terhad kepada mereka yang mempunyai akses kepada sumber dan peluang untuk mengamalkan penggunaan bahasa inggeris dalam kehidupan seharian. Pelajar di luar bandar atau kampung tidak mempunyai peluang untuk berlatih dalam bahasa inggeris kerana penggunaan bahasa tersebut tidak wujud dan penting dalam kehidupan seharian mereka.

Dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negara ini amat mengelirukan dan telah menyebabkan kewujudan generasi yang tidak berdaya saing berbanding dengan negara lain. Perubahan yang kerap dalam pengubalan dasar pendidikan negara terutamanya status bahasa kebangsaan telah mewujudkan jurang perbezaan antara pelajar di bandar dan di luar bandar yang tidak adil dari segi faedah. Taraf pendidikan pelajar di luar bandar akan merosot dan minat mereka terhadap pengajaran subjek dalam bahasa inggeris akan berkurangan.

Laman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.